JANUARI 2025

i- CATS Institusi Pilihan Untuk Jurusan Tenaga Boleh Diperbaharui


KUCHING, 19 Jan: Kerajaan Sarawak bakal menubuhkan institusi khas berkaitan dengan tenaga boleh diperbaharui, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Terdahulu beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Cawangan-Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Selatan 2025, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), tengahari ini tadi.

Beliau berkata, institusi berkenaan akan dibangunkan di Kolej Universiti i-CATS melalui pengwujudan fakulti yang mengkhususkan jurusan berkaitan dengan tenaga di Sarawak.

“Kita boleh bekerjasama dengan Sarawak Energy Berhad (SEB) dan juga PETROS yang mana pengajiannya di akan dilaksanakan di i-CATS.

“Kenapa saya pilih i-CATS? Ini kerana i-CATS adalah kepunyaan Sarawak dan yang kedua, penuntut kita yang layak untuk memasuki fakulti itu akan diberikan pendidikan percuma di universiti tersebut. Maka akan lahirlah saintis dan juga pakar kita di dalam perihal tenaga termasuklah gas,” katanya.

Sarawak kini juga sudah mempunyai teknologi baharu melibatkan tenaga boleh diperbaharui yang lain seperti gas sintetik, tambah Abang Johari lagi. 

“Ia (gas sintetik) merupakan hidrogen yang dicampur dengan karbon. Karbon ini daripada udara. Karbon yang ditangkap itu akan mengeluarkan gas sintetik dan seterusnya gas sintetik itulah yang akan menjadi bahan untuk mengeluarkan tenaga,” ujarnya.

Turut hadir Timbalan-Timbalan Yang di-Pertua Parti, Datuk Amar Douglas Uggah dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Naib Yang di-Pertua Kanan yang juga Pengerusi Mesyuarat Perwakilan Parti PBB Zon Selatan, Dato’ Sri Fadillah Yusof dan Dato’ Sri Dr Stephen Rundi, Setiausaha Agung, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, ahli Majlis Tertinggi (MT) serta ketua pergerakan pemuda dan wanita.

Sebanyak 26 Cawangan Zon Selatan membabitkan lebih 2,000 ahli parti termasuk pergerakan belia dan veteran menghadiri perasmian tersebut.